Tuesday, July 20, 2010

KBM Bukit Sentosa [KRJ 170710]




Pengarah : Pak Kay

Barisan Pengendali :

KMKY ~ Kak Yong, Pak Kay, Abg Muadz & Abg Duke
Inteam ~ Kak Nina
MAM 1 ~ Kak Nina
MAM 2 ~ Abg Bai, Abg Duke dan semua fasilitator
Hijrah ~ Abg Bai
MKMS ~ Pak Andak
Pertemuan ~ Abg Bai

Video: Abg Eming
Video Editing: Kak Yong
Laptop: Kak Yong & Abg Muadz

Pramugara: Abg Duke, Abg Atif, Abg Adib, Abg Nasim, Abg Arif, Abg Aizat, dan Abg Hazim

Pramugari: Kak Ina, Kak Musyi, Kak Husna, Kak Asma', Kak Una, Kak Do, dan Kak Syahida

Peserta: 75 orang

Alhamdulillah thummalhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya, sekali lagi KBMKL dapat melangkah meneruskan misi da'wah di Bukit Sentosa. Ini merupakan kali kedua program ini diadakan di lokasi yang sama iaitu Masjid As-Salam Bukit Sentosa. Program kali ini dianjurkan oleh Masjid As-Salam Bukit Sentosa bergabung tenaga dengan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Daerah Hulu Selangor. Dan alhamdulillah, team kami selamat tiba di Masjid As-Salam Bukit Sentosa kira-kira jam 11.30 malam 16 Julai 2010. Kedatangan kami disambut baik oleh pihak penganjur. Sesi taklimat ringkas dan taaruf telah diadakan pada malam itu dalam susana santai sambil menjamu selera dengan hidangan nasi goreng, kek coklat yang kami bawa dan juga biskut serta nescafe panas.

Homemade chocolate cake dan nasi goreng yang dibawa ke Bukit Sentosa


Lepak santai sambil tengok video-video ala-ala berpicnic pun ada haha


Menjelang 17 Julai 2010, seawal jam 8.00 pagi kelihatan adik-adik peserta telah tiba. Sesi pendaftaran dikendalikan oleh pihak penganjur. Seramai 75 orang telah menyertai KBM kali ini yang terdiri dari 25 orang adik-adik sayang dan 50 orang adik-adik kasih yang datang dari tiga buah sekolah iaitu SMK Bukit Sentosa, SMK Bukit Sentosa 2 dan SMK Taman Bunga Raya termasuk tiga orang dari SMK Bandar Baru Batang Kali dan dua orang dari SMK Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh. Program dimulakan dengan ucapan dari Pengarah program yang juga merupakan Setiausaha Masjid As-Salam Bukit Sentosa. Selepas penyerahan, program diteruskan dengan slot Knowing Me Knowing You yang dikendalikan oleh gandingan Pak Kay dan Kak Yong. Adik-adik begitu terhibur dan teruja dengan celoteh Kak Yong juga lawak jenaka dari Pak Kay. Selepas berhenti rehat kira-kira jam 10.45 pagi, program diteruskan dengan sesi Army Yell dikendalikan oleh gandingan sempoi dan bersahaja Abg Muadz dan Abg Duke. Program kali ini turut dibantu oleh fasilitator kami yang menyambung pelajaran di Madinah dan Mesir dan sedang bercuti sekarang ini. Program berhenti rehat tepat jam 1.00 tengahari untuk makan tengahari dan solat Zuhur.

Usai makan tengahari dan solat Zuhur, program diteruskan dengan slot Inteam yang dikendalikan oleh Kak Nina. Adik-adik kasih dan sayang dibawa untuk mengindahkan lagi hubungan dan ikatan persahabatan mereka. Mereka saling memohon maaf dan mendoakan sahabat mereka. Slot ini diakhiri dengan nyanyian lagu 'Teman Sejati' beramai-ramai.

Sahabat, terima kasih atas segala-galanya...


Ya Allah, eratkanlah ikatan persahabatan di antara kami...


Selepas minum petang dan solat Asar, sesi riadah ringan diadakan secara berasingan antara adik-adik kasih dan sayang. Adik-adik sayang beriadah bersama abang-abang fasi manakala adik-adik kasih pula beriadah bersama kakak-kakak fasi di dalam dewan. Disebabkan jumlah adik-adik kasih yang ramai dan jumlah bilik air yang tidak mencukupi, adik-adik kasih bergilir untuk makan malam dan membersihkan diri.

Usai solat Maghrib secara berjamaah, adik-adik kasih dan sayang dipertontonkan dengan tiga klip video 'pasar malam' yang disediakan khas oleh Kak Yong. Dan slot Meniti Angin Malam 1 dimulakan usai sahaja solat Isyak berjamaah. Slot ini dikendalikan oleh Kak Nina. Dalam slot ini, adik-adik kasih dan sayang dibawa untuk mengeratkan dan mengindahkan lagi hubungan dengan Allah, Rasulullah dan ibu ayah. Adik-adik kasih dan sayang juga didedahkan dengan perjuangan para sahabat yang sanggup berkorban nyawa untuk memastikan syiar Islam terus tertegak. Alhamdulillah, adik-adik kasih dan sayang dapat menghayati slot ini dengan baik. Slot ini tamat kira-kira jam 11.00 malam. Program diteruskan lagi dengan slot Meniti Angin Malam 2 yang dikendalikan oleh Abg Bai, Abg Duke dan semua barisan fasilitator. Slot ini berakhir jam 1.00 pagi. Selepas itu adik-adik kasih dan sayang dibenarkan untuk tidur dan berehat.

Program diteruskan lagi pada hari kedua dengan dua slot yang berjalan serentak tetapi di dua lokasi yang berbeza. Slot Hijrah untuk adik-adik kasih dikendalikan oleh Abg Bai manakala slot MKMS untuk ibubapa dikendalikan oleh Pak Andak. Kira-kira 40 orang ibu bapa telah hadir untuk slot yang terakhir ini. Ibu bapa dimaklumkan tentang perjalanan program yang telah dilalui oleh anak-anak mereka dan video klip perjalanan program turut dikongsikan. Ibu bapa juga dipinta untuk terus memainkan peranan mereka untuk terus membimbing dan membantu membina persekitaran yang baik di rumah untuk anak-anak mereka supaya apa yang telah anak-anak mereka lalui sepanjang program 2 hari ini akan dapat dikekalkan.

Pak Andak sedang mengendalikan slot bersama ibu bapa


Kira-kira jam 12.00 tengahari, adik-adik kasih dan sayang telah dibawa untuk dipertemukan dengan ibu bapa dalam slot Pertemuan. Suasana sedih dan pilu menyelubungi semua yang hadir apabila adik-adik kasih dan sayang dilepaskan untuk bertemu dengan ibu dan ayah masing-masing.

Adik-adik kasih dan sayang...


Perasmian penutupan program telah disempurnakan oleh Setiausaha IKRAM Hulu Selangor, Mohd Amran Sakir. Pada penghujung program, Bendahari Masjid, Syed Azman Syed Yusoh telah menyerahkan sekeping cek bernilai RM1038 kepada Mohd Amran. Jumlah itu adalah sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada tabung bantuan rakyat Palestin yang dikendalikan oleh IKRAM melalui Aqsa Syarif Berhad.

Insyaallah, ada rezeki kita bertemu lagi


Barisan fasilitator akhwat...


Bergambar kenang-kenangan bersama adik-adik kasih


Terima kasih diucapkan kepada pihak Masjid As-Salam, IKRAM Daerah Hulu Selangor dan juga guru-guru kerana telah memberi sepenuh kepercayaan kepada kami untuk menyantuni adik-adik kasih dan sayang. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih dan tahniah buat barisan fasilitator dari IKRAM Daerah Hulu Selangor juga fasilitator dari team KBM KL kerana sudi meluangkan tenaga dan masa untuk menjayakan KBM kali ini. Pastinya KBM ini tidak berjaya dengan kehadiran kalian. Dan khususnya buat adik-adik kasih dan sayang, terima kasih yang tidak terhingga kerana sentiasa memberi komitmen dan kerjasama yang sangat hebat dalam setiap slot yang dijalankan. Diharapkan agar ilmu yang kita perolehi di sini dapat kita amalkan dan kongsikan kepada sahabat-sahabat kita yang tidak berkesempatan untuk bersama-sama kita. Ucapan jutaan syukur kerana pastinya jika tidak atas pertolongan jua izi dariMu Ya Allah pastinya program kali ini tidak akan berjaya. Alhamdulillah...

Buat adik-adik, moga terus MENYERLAH JAUH DARI YANG BIASA!!!

Disediakan oleh: Kak Yong

Berita KBM Bukit Sentosa di Malaysia Harmoni

0 comments: