Monday, December 27, 2010

KBM Masjid Al-Mukhlisin : Penutup Tirai 2010




Pengarah : Pak Kay

Barisan Pengendali :

KMKY ~ Kak Yong & Abg Duke
Inteam ~ Kak Yong
MAM 1 ~ Ummi Ida
MAM 2 ~ Kak Yong, Abg Duke dan semua fasilitator
Hijrah ~ Kak Yong
MKMS ~ Ummi Ida
Pertemuan ~ Ummi Ida

Video: Kak Zar
Video Editing: Pak Kay
Laptop: Kak Alang Atie, Abg Muadz & Kak Yong

Pramugara: Abg Duke, Abg Aqi, Abg Atif, Abg Atiq Jer & Abg Muadz
Pramugari: Kak Aina, Kak Sarah, Kak Alang & Kak Zar

Peserta: 57 orang

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah thummalhamdulillah kerana dengan izin-Nya maka telah berlangsung program KBM di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai pada 25-26 Disember 2010 yang merupakan anjuran bersama IKRAM Bandar Tun Razak, JIM Daerah Cheras dan Masjid Al-Mukhlisin sendiri. Apa yang menariknya, KBM ini merupakan penutup tirai 2010 bagi team KBM Kuala Lumpur.

Seramai 57 orang peserta telah menghadiri KBM kali ini yang terdiri dari 36 orang adik sayang dan 21 orang adik kasih. Mereka ini datang dari latar belakang umur yang berbeza iaitu dari umur 11 tahun hingga 16 tahun. Sebelum program bermula dan sementara menanti ketibaan peserta-peserta lain, adik-adik kasih dan sayang dihiburkan dengan soalan teka-teki dari Kak Yong dan Abang Duke. Berkerut-kerut dahi adik-adik kasih dan sayang berfikir untuk mencari jawapan.

Kira-kira jam 9.00 pagi, pesawat KRJ 251210 berlepas dari perkarangan Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai. Program dimulakan dengan slot KNOWING ME KNOWING YOU yang dikendalikan secara duet oleh Kak Yong dan Abang Duke. Setelah diperkenalkan dengan barisan fasilitator, adik-adik di'perkenal'kan dengan 3S. Walaupun terdiri dari latarbelakang umur yang berbeza, adik-adik kasih dan sayang berjaya memberikan kerjasama yang terbaik. Hasilnya dapat dilihat melalui kerjasama mereka dalam kumpulan hingga terhasilnya pelbagai ARMY YELL yang menarik. Tujuh buah kumpulan; Redah Kasi Pecah, Muslimin United, Syabab Crew, CUCCO, Coconut dan One Republic telah berjaya mempersembahkan Army Yell yang menarik dan kreatif. Tahniah diucapkan kepada adik-adik. Apa yang lebih menarik sewaktu sesi pembahagian kumpulan, Kak Yong terpaksa memberi penerangan tanpa menggunakan mikrofon kerana pada masa yang sama, satu majlis pernikahan sedang berlangsung di ruangan bawah masjid. Untuk tidak mengganggu majlis, semua arahan dibuat tanpa menggunakan mikrofon dan selepas itu semua kumpulan diminta untuk berbincang dan berlatih army yell di tempat yang agak jauh dari tempat majlis sedang berlangsung. Slot KMKY diakhiri dengan sesi 'sharing' oleh adik-adik kasih dan sayang. Walaupun pada mulanya kesemua adik-adik kasih dan sayang malu untuk bangun dan berkongsi, tetapi setelah dipujuk dan diyakinkan oleh Kak Yong, beberapa orang adik kasih dan sayang sudi berkongsi apa yang mereka lalui sepanjang slot KMKY. Program berhenti rehat tepat jam 12.50 tengahari bagi memberi laluan kepada azan dan makan tengahari.

Program disambung semula pada jam 2.30 petang dengan slot INTEAM yang dikendalikan oleh Kak Yong. Walaupun ada di antara adik-adik kasih dan sayang yang baru berkenalan tetapi mereka berjaya menghayati slot bersama sahabat ini dengan baik. Sewaktu sesi 'sharing', seorang adik kasih berkata, "Saya pernah dengar ada orang kata, persahabatan ialah satu kekuatan. Alhamdulillah, hari ini saya temui kebenaran kata-kata itu." Seorang lagi adik kasih yang baru mengenali pasangannya sewaktu slot INTEAM berkata, "Allah Maha Mengatur setiap sesuatu. Walaupun saya baru kenal dia, tapi terasa sangat indahnya ukhwah. Kalau Allah dah tetapkan sesuatu, tanpa kita rancang ia tetap akan berlaku." Ada juga adik kasih yang berkata, "Selama ni bila saya pergi kem motivasi, tak pernah ada slot tentang sahabat. Asyik-asyik tentang study. Tapi dalam kem ni lain. Saya rasa inilah kem yang paling best saya pernah pergi."

Usai solat Asar dan minum petang, program diteruskan dengan riadah berasingan yang dijalankan disekitar masjid. Selesai sesi riadah ringan, adik-adik kasih dan sayang diminta untuk membersihkan diri sebelum bersiap-siap untuk solat Maghrib, seterusnya mengikuti kuliah Maghrib yang dikendalikan oleh pihak Masjid Al-Mukhlisin. Selesai solat Isyak, kami dijamu dengan juadah Nasi Beriani oleh pihak masjid. Adik-adik kasih dan sayang kelihatan gembira makan bersama-sama di dalam talam.

Lebih kurang jam 9.40 malam, program diteruskan lagi dengan slot MENITI ANGIN MALAM 1 yang dikendalikan oleh Ummi Ida. Di dalam slot ini adik-adik kasih dan sayang dibawa mengembara untuk mengindahkan lagi hubungan dengan Allah, Rasulullah, juga ibu dan ayah. Lebih kurang jam 12.00 malam, slot MAM 1 menutup tirai dan disambung dengan slot MENITI ANGIN MALAM 2. Lebih kurang jam 2.00 pagi, berakhirlah slot MENITI ANGIN MALAM 2 yang memberi kesan terbaik buat adik-adik kasih dan sayang.

Keesokkan harinya, program diteruskan lagi dengan slot HIJRAH untuk adik-adik kasih dan sayang yang bertempat di kantin Sekolah Agama Masjid Al-Mukhlisin (bersebelahan masjid) manakala slot MKMS untuk ibu bapa yang hadir bertempat di dewan terbuka masjid. Slot Hijrah telah dikendalikan oleh Kak Yong manakala slot MKMS dikendalikan oleh Ummi Ida. Kehadiran ibu bapa agak memberangsangkan. Pada jam 12 tengahari, slot pertemuan telah dikendalikan oleh Ummi Ida. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YDP IKRAM Bandar Tun Razak dan program berakhir sekitar jam 1 petang. Jazakumullahu khair kpd semua yang menjayakan... ~ para fasilitator, pihak Masjid Al-Mukhlisin, YDP IKRAM BTR, TYDP IKRAM Bandar Tun Razak, akhi Nazeli dan juga kepada warga IKRAM BTR/JDC yang bertungkus lumus memastikan dan mengurus program hingga berjaya. Tidak lupa juga kepada semua peserta kasih dan sayang. Antum memang hebat!!

Antara ibubapa yang hadir...

Adik-adik kasih...

Adik-adik sayang...

Saat dipertemukan...

Maafkan saya ibu, ayah...

Semoga ketemu lagi di program yang lain pula di tahun 2011, insyaAllah. Jom jadi yang terbaik, luar biasa hebat di pandangan Allah!!!

Monday, December 20, 2010

Impak KBM SSQ+5R terus pikat remaja

HULU LANGAT – Seramai 165 orang peserta berjaya mengharungi pengembaraan hidup selama empat hari tiga malam dalam program Keindahan Bersama-Mu (KBM SSQ+5R ) yang telah diadakan di Impian Country Resort, Kampung Sungai Semungkis di sini bermula 11 Disember lalu.


Program yang dianjurkan oleh IKRAM Wilayah Persekutuan dengan kerjasama KRJ Motivasi ini merupakan program tahunan dan telah tiga kali dilaksanakan sejak tahun 2008. Pada tahun ini, jumlah penyertaan bertambah 65% berbanding tahun 2009. Hal ini membuktikan keberkesanan program KBM SSQ+5R dan kesannya mula meresap ke dalam hati remaja.


Sasaran utama program ini adalah para remaja di seluruh negara yang berumur antara 13 hingga 16 tahun. Biarpun majoriti peserta yang hadir pada tahun ini datang dari sekitar Lembah Kelang, namun ada juga peserta dari luar termasuklah dari Kedah dan Melaka.

Pihak Penganjur telah menyasarkan beberapa objektif utama bagi program ini, antaranya menyeru para remaja kembali kepada fitrah, mengajak mereka membetulkan amalan fardu harian, melahirkan remaja yang inovatif dan mampu berdikari, menyediakan remaja yang kental fizikal dan mental dan membentuk jati diri serta keperibadian yang mulia.


Program ini telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk mental, jasad dan rohani (Mentari). Antara slot-slot yang dilalui oleh para peserta ialah ‘Knowing Me Knowing You’, ‘Chit Chat Remaja’, ‘Janggal Trekking', Mission Immpossible, Kantong Bocor, Nike Walk, Whats Up, Hidup Zero Alasan, Meniti Angin Malam, Solat not so late dan Menuai Kasih Menyemai Sayang.

Menurut seorang peserta, Afiq bin Azmi, 14 tahun, “Program KBM ini merupakan antara program paling best pernah saya hadir, saya rasa 4 hari 3 malam masih tidak mencukupi. (Kalau boleh) saya dan kawan-kawan mahu lebih lama lagi berada dalam program ini.”


Bagi pengarah program, Mohd Hafiz Abd Hamid, (gambar kanan) KBM SSQ+5R kali ini boleh dikatakan yang paling mencabar kerana banyak perkara perlu diuruskan.

“Pihak urusetia terpaksa bertungkus lumus, berkerja dari awal pagi hingga lewat malam demi memastikan kesempurnaan dan objektif program tercapai. Bagaimanapun segala penat lelah itu terubat apabila kilmaks program ini berjaya menyentuh hati peserta hingga menitiskan air mata penuh kesedaran. Bagi pihak penganjur, kami amat bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala atas segala bantuan-Nya,” kata Hafiz. Riak kepuasan di wajahnya bagaikan sukar disembunyikan.

Pihak penganjur juga merancang untuk mengadakan program susulan kepada para peserta dalam masa terdekat ini dan berharap agar dapat mengumpulkan para peserta KBM SSQ+5R dalam sesi tersebut.

Program Keindahan Bersama-Mu ataupun KBM ini merupakan sebuah program pembangunan sahsiah dan kesedaran umum di bawah kelolaan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). Selama 13 tahun diwujudkan, program KBM telah berjaya diadakan di 500 buah sekolah seluruh Malaysia. Kepada pihak sekolah mahupun organisasi yang berminat untuk turut sama menganjurkan KBM di tempat mereka, sila hubungi Kak Yong (017-8786582) atau layari http://krj-motivasi.blogspot.com/



Sumber: Pertubuhan IKRAM Malaysia

Thursday, November 25, 2010

Program Remaja Cuti Sekolah 2010




Assalamu’alaikum wbt
Cuti sekolah semakin tiba. Seperti biasa kami menyediakan program khas bagi mengisi masa lapang adik-adik di musim cuti sekolah ini.
KBM SSQ+5R kembali lagi!!
Banyak aktiviti menarik dan tertarik menanti adik-adik..
Butirannya seperti di bawah:

Tarikh: 8-11 Dis 2010
Masa: 8am ( 8 dis ) - 2pm ( 11 dis )
Lokasi: Impian Country Resort
Yuran: RM 200 sahaja
Peserta : 13 - 16 Tahun ( terbuka seluruh Malaysia )
Tarikh tutup : 1 Dis 2010
Maklumat lanjut hubungi :
Abg Bai ( 013-7517051 )
Kak Mia ( 012-6456228)



Sunday, October 3, 2010

Majlis Sambutan Aidilfitri 2010/1431H



Alhamdulillah, pada hari Sabtu 2 Oktober 2010 bersamaan 24 Syawal 1431H yang lalu telah berlangsung Majlis Sambutan Aidilfitri KBM KL yang dihadiri oleh para pengendali dan barisan fasilitator. Majlis telah dijalankan bertempat di Kompleks Komuniti JIM di Taman Melawati bermula jam 12 tengahari.

Pelbagai juadah telah disediakan antaranya Nasi Beriani, Soto, Mihun Sup, Rendang, Lemang, Air Limau Nipis dan macam-macam lagi.


Bahan-bahan untuk Soto Ayam...


Team KBM KL juga telah membuat kejutan hari lahir untuk Abang Bai yang menyambut hari lahirnya pada 30 September yang lalu.

Chocolate Cheese Cake


Seronoknya Abang Bai dapat potong kek!


Sewaktu majlis sedang berjalan, tetamu dihadiahkan dengan tayangan sebuah video yang dihasilkan oleh Kak Yong dengan kerjasama fasi-fasi KBM KL yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara yang ditujukan khas untuk semua ahli keluarga KBM KL.



Selesai menjamu selera, kami merakamkan pula ucapan-ucapan balas dari para pengendali dan barisan fasilitator yang hadir untuk fasi-fasi yang berada di luar negara. Insyaallah, akan kami kongsikan video itu dalam masa terdekat.

Syukran jazilan buat semua yang memberikan kerjasama dan turut hadir memeriahkan majlis. Moga tautan ukhwah ini akn semakin erat dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Ameenn...


Wednesday, September 8, 2010

Salam Aidilfiri 1431H






Seluruh warga KBMKL mengucapkan

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Maaf Zahir dan Batin

Kepada..

Barisan fasilitator yang ceria, komited dan sentiasa setia bersama kami

Alumni KBMKL :

Guru-guru yang pernah bersama dalam KBM AKTIVIS
Mahasiswa-mahasiswi yang turut serta dalam KBM IPT

serta tidak dilupakan semestinya
adik-adik KASIH dan SAYANG yang sentiasa berada dihati kami..

Warga KBMKL mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan dan kerjasama yang diberikan. Mohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan kami sepanjang berprogram dan berukhuwah dengan kalian.

Moga Allah berkati segala usaha kita untuk kembali kepadaNya dan diberikan balasan yang baik atas segala yang kita usahakan. Moga dikekalkan ukhuwah serta ikatan hati yang telah terbina.

Amin Ya Robbal 'Alamin..

Taqobbalallah minna wa minkum..

Tuesday, August 24, 2010

Undangan ke Majlis Iftar KBM KL


Assalamu'alaikum wbt..

Dijemput semua fasilitator KBMKL ke Majlis Iftar kami. Butiran lanjut klik pada image dibawah..



>> Klik image untuk paparan lebih jelas <<

Thursday, August 19, 2010

KBM SMK Jalan Kebun, Shah Alam

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.Alhamdulillah di akhir bulan syaa’ban sebelum menjelangnya bulan ramadhan al Mubarak ini,team KBM KL telah diberi kepercayaan untuk menyantuni adik-adik kasih dan sayang dari SMK Jalan Kebun,Shah Alam.

Seperti biasa,pagi itu pesawat KRJ 310710 telah berlepas dari SMK Jalan Kebun tepat jam 9.00 pagi.Kelihatan wajah-wajah ceria dari adik-adik kasih dan sayang turut menghangatkan lagi slot KMKY yang sedia hangat bersama Abang The O Ais atau dengan kata lain Abg Chef Wan


Pak Long bersama sayang



Slot diteruskan lagi dengan Army yell.Adik-adik kasih dan sayang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.Pelbagai gelagat yang dapat dilihat dari aksi luar biasa adik-adik kasih dan sayang,ternyata adik-adik kasih dan sayang dari SMK Jalan Kebun sangat kreatif,inovatif,dan seangkatan dengannya (^_^).Tahniah diucapkan atas persembahan yang sangat mencuit hati kami para pramugara,pramugari serta guru-guru

.
Seusainya menjalankan perintah Allah,solat zohor secara berjemaah dan mengisi perut,adik-adik kasih dan sayang meneruskan lagi penerbangan mereka dan kali ini bersama Ummi Ida dalam slot Inteam,untuk mengeratkan lagi ukhuwah adik-adik kasih dan sayang.Alhamdulillah hati adik-adik kasih dan sayang ini sangat mudah untuk disentuh.Terima kasih atas komitmen yang diberikan sepanjang slot ini.Ternyata jua adik-adik kasih dan sayang ini tidak ego,kerana tidak malu untuk meminta maaf antara satu sama lain.

Setelah masuknya waktu solat asar,adik-adik kasih dan sayang menunaikan solat asar secara berjemaah.Seusainya solat asar,adik-adik kasih telah bersama dengan akak-akak fasi di dalam dewan dan adik-adik sayang bersama abang-abang fasi di luar dewan untuk sesi riadah.Adik-adik kasih bersemangat waja menggenggam serta menghayunkan tangan sambil menyanyikan lagu gelombang keadilan demi menunjukkan kepedulian kita terhadap saudara seaqidah kita di bumi Palestin.Dan bermacam-macam game ukhuwah lagi yang akak-akak fasi kenalkan kepada adik-adik kasih,abg-abg fasi jua turut begitu.

Sesudahnya riadah,adik-adik kasih dan sayang membuat persiapan diri untuk menunaikan solat maghrib secara berjemaah.Sementara menunggu masuknya waktu solat isya’,adik-adik didengarkan lagu “Demi Matahari “yang dipopularkan oleh Snada yang mana lirik-liriknya adalah dari Surah As Syams.Akak-akak dan abg abg fasi telah membuat sedikit simulasi dan kami berDEMI MATAHARI bersama-sama.

Seusainya solat isya’adik-adik telah dibawa jauh mengembara di dalam slot Meniti Angin Malam 1 bersama Ummi Ida.Adik-adik ditayangkan dengan video-video yang menyayat hati.Alhamdulillah sekali lagi,adik-adik kasih dan sayang SMK Jalan Kebun sangat mudah tersentuh.Tahniah sekali lagi atas komitmen kalian.Slot diteruskan lagi dengan Meniti Angin Malam 2,kali ini melibatkan semua pengendali dan fasilitator.Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Pagi ahad pula,seperti biasa tepat jam 9.00 pagi slot Hijrah berlangsung di dewan,adik-adik telah bersama dengan Abg Chef Wan dan pada waktu yang sama ibu bapa telah bersama dengan Pak Long dalam slot Menyemai kasih Menuai Sayang di dewan yang berlainan.Pelbagai perubahan yang adik-adik kasih dan sayang senaraikan,semoga tercapai.InsyaAllah.Seterusnya adik-adik diagihkan dengan kad untuk mereka hadiahkan kepada ibu bapa bagi meluahkan lafaz-lafaz yang selama ini tersimpan.lafaz yang selama ini tidak diucapkan.




Tepat jam 11.30 pagi,adik-adik telah dibawa masuk ke dewan bagi sesi pertemuan dengan ibu bapa masing-masing.Alhamdulillah ramai jua ibu bapa yang hadir,terima kasih atas komitmen yang kalian berikan.Slot pada tengahari itu,tamat jam 1.30 petang dengan sesi persalaman diantara adik-adik,fasilitator,guru-guru dan ibu bapa yang hadir


Disini diucapkan jutaan terima kasih kepada semua barisan pengendali dan fasilitator yang tidak pernah jemu untuk berKBM.Semoga sedikit usaha kita ini dinilai olehnya diakhirat kelak.InsyaAllah.Syukran jazilan jua buat guru-guru yang sentiasa ada dibelakang kami bagi menunjukkan rasa sokongan kalian.Dan khususnya buat adik-adik kasih dan sayang SMK Jalan Kebun Shah Alam,Aligator,Terima kasih,Syukran,Thank you kerana memberi komitmen dalam menjayakan KBM kali ini.Semoga adik-adik terus menerus menyerlah jauh dari yang biasa dan menjadi remaja soleh wa musleh!Doa kami team KBMKL sentiasa mengiringi setiap langkah adik-adik kami!



Alhamdulillah syukur Ya Allah,kerana Engkaulah pesawat KRJ 310710 ini berjaya berlepas dan mendarat dengan selamat.Segala puji hanya bagiMu Ya Allah.Sesungguhnya kami hanya merancang tetapi Engkau yang menentukan.

Disediakan oleh: Kak Ika

Wednesday, July 21, 2010

KBM Kembali di SMK Bangsar


KBM Kembali SMK Bangsar


Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas kesempatan yang diberikan kepada kami maka pada 20 Julai 2010, team KBM KL yang terdiri dari Abg Bai, Pak Long, Mak Long, Kak Yong dan Kak Musyi telah berkesempatan berkunjung ke SMK Bangsar KL untuk program KBM Kembali. Lebih kurang jam 9.00 pagi, kami tiba di SMK Bangsar dan ketibaan kami disambut mesra oleh Ustazah Aisyah. Adik-adik kasih dan sayang semuanya sudah setia menanti di dalam dewan.

Pak Long sedang memberi ucap alu-aluan


Program dimulakan dengan ucap alu-aluan dari Pak Long mewakili KBM KL juga Badan Kebajikan Islam Telekom (BAKIT) di mana BAKIT telah menaja program KBM di SMK Bangsar pada 8 dan 9 Mei 2010 yang lalu. (KRJ 080510)

Adik-adik kasih dan sayang yang hadir...


Program diteruskan oleh Abang Bai yang mengajak adik-adik untuk mengimbau kembali program KBM yang telah mereka lalui. Seterusnya amereka dipertontonkan dengan video klip program KBM yang lalu. Sambil menonton, mereka turut sama melagukan nasyid Satu Tekad, Jalinan dan Teman Sejati.

Abg Bai sedang beraksi...


Seterusnya, adik-adik kasih dan sayang telah dikongsikan beberapa tips untuk mengekalkan perubahan. Mereka juga diminta untuk menyenaraikan apa sahaja perubahan yang telah mereka lakukan selepas mengikuti program KBM pada Mei yang lalu. Seterusnya beberapa orang adik-adik kasih dan sayang telah berkongsi di hadapan rakan-rakan mereka tentang perubahan-perubahan yang telah mereka lakukan.

Seorang adik sayang sedang berkongsi perubahan-perubahan
positif yang telah dilakukan


Seterusnya adik-adik kasih dan sayang turut dipertontonkan klip video slot Pertemuan untuk membawa adik-adik mengimbau kembali saat-saat penuh bermakna itu dan menegaskan kembali harapan dan impian ibu bapa mereka terhadap diri mereka. Di penghujung slot, adik-adik kasih dan sayang bersama-sama menyanyikan lagu 'Titian Kejayaan' secara beramai-ramai. Program diakhiri dengan bacaan doa oleh Abg Bai dan diaminkan oleh semua yang berada di dalam dewan.

Menyanyikan lagu 'Titian Kejayaan' bersama-sama


Bacaan doa dari Abg Bai yang diaminkan oleh semua yang berada di dalam dewan


Terima kasih diucapkan kepada pihak sekolah terutamanya Ustazah Aisyah di atas kerjasama dan peluang yang diberikan kepada team KBM KL untuk mengadakan program KBM Kembali di SMK Bangsar. Harapan kami agar adik-adik kasih dan sayang terus menyerlah jauh dari biasa... ^_^


Disediakan oleh: Kak Yong

Tuesday, July 20, 2010

KBM Bukit Sentosa [KRJ 170710]




Pengarah : Pak Kay

Barisan Pengendali :

KMKY ~ Kak Yong, Pak Kay, Abg Muadz & Abg Duke
Inteam ~ Kak Nina
MAM 1 ~ Kak Nina
MAM 2 ~ Abg Bai, Abg Duke dan semua fasilitator
Hijrah ~ Abg Bai
MKMS ~ Pak Andak
Pertemuan ~ Abg Bai

Video: Abg Eming
Video Editing: Kak Yong
Laptop: Kak Yong & Abg Muadz

Pramugara: Abg Duke, Abg Atif, Abg Adib, Abg Nasim, Abg Arif, Abg Aizat, dan Abg Hazim

Pramugari: Kak Ina, Kak Musyi, Kak Husna, Kak Asma', Kak Una, Kak Do, dan Kak Syahida

Peserta: 75 orang

Alhamdulillah thummalhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya, sekali lagi KBMKL dapat melangkah meneruskan misi da'wah di Bukit Sentosa. Ini merupakan kali kedua program ini diadakan di lokasi yang sama iaitu Masjid As-Salam Bukit Sentosa. Program kali ini dianjurkan oleh Masjid As-Salam Bukit Sentosa bergabung tenaga dengan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Daerah Hulu Selangor. Dan alhamdulillah, team kami selamat tiba di Masjid As-Salam Bukit Sentosa kira-kira jam 11.30 malam 16 Julai 2010. Kedatangan kami disambut baik oleh pihak penganjur. Sesi taklimat ringkas dan taaruf telah diadakan pada malam itu dalam susana santai sambil menjamu selera dengan hidangan nasi goreng, kek coklat yang kami bawa dan juga biskut serta nescafe panas.

Homemade chocolate cake dan nasi goreng yang dibawa ke Bukit Sentosa


Lepak santai sambil tengok video-video ala-ala berpicnic pun ada haha


Menjelang 17 Julai 2010, seawal jam 8.00 pagi kelihatan adik-adik peserta telah tiba. Sesi pendaftaran dikendalikan oleh pihak penganjur. Seramai 75 orang telah menyertai KBM kali ini yang terdiri dari 25 orang adik-adik sayang dan 50 orang adik-adik kasih yang datang dari tiga buah sekolah iaitu SMK Bukit Sentosa, SMK Bukit Sentosa 2 dan SMK Taman Bunga Raya termasuk tiga orang dari SMK Bandar Baru Batang Kali dan dua orang dari SMK Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh. Program dimulakan dengan ucapan dari Pengarah program yang juga merupakan Setiausaha Masjid As-Salam Bukit Sentosa. Selepas penyerahan, program diteruskan dengan slot Knowing Me Knowing You yang dikendalikan oleh gandingan Pak Kay dan Kak Yong. Adik-adik begitu terhibur dan teruja dengan celoteh Kak Yong juga lawak jenaka dari Pak Kay. Selepas berhenti rehat kira-kira jam 10.45 pagi, program diteruskan dengan sesi Army Yell dikendalikan oleh gandingan sempoi dan bersahaja Abg Muadz dan Abg Duke. Program kali ini turut dibantu oleh fasilitator kami yang menyambung pelajaran di Madinah dan Mesir dan sedang bercuti sekarang ini. Program berhenti rehat tepat jam 1.00 tengahari untuk makan tengahari dan solat Zuhur.

Usai makan tengahari dan solat Zuhur, program diteruskan dengan slot Inteam yang dikendalikan oleh Kak Nina. Adik-adik kasih dan sayang dibawa untuk mengindahkan lagi hubungan dan ikatan persahabatan mereka. Mereka saling memohon maaf dan mendoakan sahabat mereka. Slot ini diakhiri dengan nyanyian lagu 'Teman Sejati' beramai-ramai.

Sahabat, terima kasih atas segala-galanya...


Ya Allah, eratkanlah ikatan persahabatan di antara kami...


Selepas minum petang dan solat Asar, sesi riadah ringan diadakan secara berasingan antara adik-adik kasih dan sayang. Adik-adik sayang beriadah bersama abang-abang fasi manakala adik-adik kasih pula beriadah bersama kakak-kakak fasi di dalam dewan. Disebabkan jumlah adik-adik kasih yang ramai dan jumlah bilik air yang tidak mencukupi, adik-adik kasih bergilir untuk makan malam dan membersihkan diri.

Usai solat Maghrib secara berjamaah, adik-adik kasih dan sayang dipertontonkan dengan tiga klip video 'pasar malam' yang disediakan khas oleh Kak Yong. Dan slot Meniti Angin Malam 1 dimulakan usai sahaja solat Isyak berjamaah. Slot ini dikendalikan oleh Kak Nina. Dalam slot ini, adik-adik kasih dan sayang dibawa untuk mengeratkan dan mengindahkan lagi hubungan dengan Allah, Rasulullah dan ibu ayah. Adik-adik kasih dan sayang juga didedahkan dengan perjuangan para sahabat yang sanggup berkorban nyawa untuk memastikan syiar Islam terus tertegak. Alhamdulillah, adik-adik kasih dan sayang dapat menghayati slot ini dengan baik. Slot ini tamat kira-kira jam 11.00 malam. Program diteruskan lagi dengan slot Meniti Angin Malam 2 yang dikendalikan oleh Abg Bai, Abg Duke dan semua barisan fasilitator. Slot ini berakhir jam 1.00 pagi. Selepas itu adik-adik kasih dan sayang dibenarkan untuk tidur dan berehat.

Program diteruskan lagi pada hari kedua dengan dua slot yang berjalan serentak tetapi di dua lokasi yang berbeza. Slot Hijrah untuk adik-adik kasih dikendalikan oleh Abg Bai manakala slot MKMS untuk ibubapa dikendalikan oleh Pak Andak. Kira-kira 40 orang ibu bapa telah hadir untuk slot yang terakhir ini. Ibu bapa dimaklumkan tentang perjalanan program yang telah dilalui oleh anak-anak mereka dan video klip perjalanan program turut dikongsikan. Ibu bapa juga dipinta untuk terus memainkan peranan mereka untuk terus membimbing dan membantu membina persekitaran yang baik di rumah untuk anak-anak mereka supaya apa yang telah anak-anak mereka lalui sepanjang program 2 hari ini akan dapat dikekalkan.

Pak Andak sedang mengendalikan slot bersama ibu bapa


Kira-kira jam 12.00 tengahari, adik-adik kasih dan sayang telah dibawa untuk dipertemukan dengan ibu bapa dalam slot Pertemuan. Suasana sedih dan pilu menyelubungi semua yang hadir apabila adik-adik kasih dan sayang dilepaskan untuk bertemu dengan ibu dan ayah masing-masing.

Adik-adik kasih dan sayang...


Perasmian penutupan program telah disempurnakan oleh Setiausaha IKRAM Hulu Selangor, Mohd Amran Sakir. Pada penghujung program, Bendahari Masjid, Syed Azman Syed Yusoh telah menyerahkan sekeping cek bernilai RM1038 kepada Mohd Amran. Jumlah itu adalah sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada tabung bantuan rakyat Palestin yang dikendalikan oleh IKRAM melalui Aqsa Syarif Berhad.

Insyaallah, ada rezeki kita bertemu lagi


Barisan fasilitator akhwat...


Bergambar kenang-kenangan bersama adik-adik kasih


Terima kasih diucapkan kepada pihak Masjid As-Salam, IKRAM Daerah Hulu Selangor dan juga guru-guru kerana telah memberi sepenuh kepercayaan kepada kami untuk menyantuni adik-adik kasih dan sayang. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih dan tahniah buat barisan fasilitator dari IKRAM Daerah Hulu Selangor juga fasilitator dari team KBM KL kerana sudi meluangkan tenaga dan masa untuk menjayakan KBM kali ini. Pastinya KBM ini tidak berjaya dengan kehadiran kalian. Dan khususnya buat adik-adik kasih dan sayang, terima kasih yang tidak terhingga kerana sentiasa memberi komitmen dan kerjasama yang sangat hebat dalam setiap slot yang dijalankan. Diharapkan agar ilmu yang kita perolehi di sini dapat kita amalkan dan kongsikan kepada sahabat-sahabat kita yang tidak berkesempatan untuk bersama-sama kita. Ucapan jutaan syukur kerana pastinya jika tidak atas pertolongan jua izi dariMu Ya Allah pastinya program kali ini tidak akan berjaya. Alhamdulillah...

Buat adik-adik, moga terus MENYERLAH JAUH DARI YANG BIASA!!!

Disediakan oleh: Kak Yong

Berita KBM Bukit Sentosa di Malaysia Harmoni