Monday, December 27, 2010

KBM Masjid Al-Mukhlisin : Penutup Tirai 2010




Pengarah : Pak Kay

Barisan Pengendali :

KMKY ~ Kak Yong & Abg Duke
Inteam ~ Kak Yong
MAM 1 ~ Ummi Ida
MAM 2 ~ Kak Yong, Abg Duke dan semua fasilitator
Hijrah ~ Kak Yong
MKMS ~ Ummi Ida
Pertemuan ~ Ummi Ida

Video: Kak Zar
Video Editing: Pak Kay
Laptop: Kak Alang Atie, Abg Muadz & Kak Yong

Pramugara: Abg Duke, Abg Aqi, Abg Atif, Abg Atiq Jer & Abg Muadz
Pramugari: Kak Aina, Kak Sarah, Kak Alang & Kak Zar

Peserta: 57 orang

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah thummalhamdulillah kerana dengan izin-Nya maka telah berlangsung program KBM di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai pada 25-26 Disember 2010 yang merupakan anjuran bersama IKRAM Bandar Tun Razak, JIM Daerah Cheras dan Masjid Al-Mukhlisin sendiri. Apa yang menariknya, KBM ini merupakan penutup tirai 2010 bagi team KBM Kuala Lumpur.

Seramai 57 orang peserta telah menghadiri KBM kali ini yang terdiri dari 36 orang adik sayang dan 21 orang adik kasih. Mereka ini datang dari latar belakang umur yang berbeza iaitu dari umur 11 tahun hingga 16 tahun. Sebelum program bermula dan sementara menanti ketibaan peserta-peserta lain, adik-adik kasih dan sayang dihiburkan dengan soalan teka-teki dari Kak Yong dan Abang Duke. Berkerut-kerut dahi adik-adik kasih dan sayang berfikir untuk mencari jawapan.

Kira-kira jam 9.00 pagi, pesawat KRJ 251210 berlepas dari perkarangan Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai. Program dimulakan dengan slot KNOWING ME KNOWING YOU yang dikendalikan secara duet oleh Kak Yong dan Abang Duke. Setelah diperkenalkan dengan barisan fasilitator, adik-adik di'perkenal'kan dengan 3S. Walaupun terdiri dari latarbelakang umur yang berbeza, adik-adik kasih dan sayang berjaya memberikan kerjasama yang terbaik. Hasilnya dapat dilihat melalui kerjasama mereka dalam kumpulan hingga terhasilnya pelbagai ARMY YELL yang menarik. Tujuh buah kumpulan; Redah Kasi Pecah, Muslimin United, Syabab Crew, CUCCO, Coconut dan One Republic telah berjaya mempersembahkan Army Yell yang menarik dan kreatif. Tahniah diucapkan kepada adik-adik. Apa yang lebih menarik sewaktu sesi pembahagian kumpulan, Kak Yong terpaksa memberi penerangan tanpa menggunakan mikrofon kerana pada masa yang sama, satu majlis pernikahan sedang berlangsung di ruangan bawah masjid. Untuk tidak mengganggu majlis, semua arahan dibuat tanpa menggunakan mikrofon dan selepas itu semua kumpulan diminta untuk berbincang dan berlatih army yell di tempat yang agak jauh dari tempat majlis sedang berlangsung. Slot KMKY diakhiri dengan sesi 'sharing' oleh adik-adik kasih dan sayang. Walaupun pada mulanya kesemua adik-adik kasih dan sayang malu untuk bangun dan berkongsi, tetapi setelah dipujuk dan diyakinkan oleh Kak Yong, beberapa orang adik kasih dan sayang sudi berkongsi apa yang mereka lalui sepanjang slot KMKY. Program berhenti rehat tepat jam 12.50 tengahari bagi memberi laluan kepada azan dan makan tengahari.

Program disambung semula pada jam 2.30 petang dengan slot INTEAM yang dikendalikan oleh Kak Yong. Walaupun ada di antara adik-adik kasih dan sayang yang baru berkenalan tetapi mereka berjaya menghayati slot bersama sahabat ini dengan baik. Sewaktu sesi 'sharing', seorang adik kasih berkata, "Saya pernah dengar ada orang kata, persahabatan ialah satu kekuatan. Alhamdulillah, hari ini saya temui kebenaran kata-kata itu." Seorang lagi adik kasih yang baru mengenali pasangannya sewaktu slot INTEAM berkata, "Allah Maha Mengatur setiap sesuatu. Walaupun saya baru kenal dia, tapi terasa sangat indahnya ukhwah. Kalau Allah dah tetapkan sesuatu, tanpa kita rancang ia tetap akan berlaku." Ada juga adik kasih yang berkata, "Selama ni bila saya pergi kem motivasi, tak pernah ada slot tentang sahabat. Asyik-asyik tentang study. Tapi dalam kem ni lain. Saya rasa inilah kem yang paling best saya pernah pergi."

Usai solat Asar dan minum petang, program diteruskan dengan riadah berasingan yang dijalankan disekitar masjid. Selesai sesi riadah ringan, adik-adik kasih dan sayang diminta untuk membersihkan diri sebelum bersiap-siap untuk solat Maghrib, seterusnya mengikuti kuliah Maghrib yang dikendalikan oleh pihak Masjid Al-Mukhlisin. Selesai solat Isyak, kami dijamu dengan juadah Nasi Beriani oleh pihak masjid. Adik-adik kasih dan sayang kelihatan gembira makan bersama-sama di dalam talam.

Lebih kurang jam 9.40 malam, program diteruskan lagi dengan slot MENITI ANGIN MALAM 1 yang dikendalikan oleh Ummi Ida. Di dalam slot ini adik-adik kasih dan sayang dibawa mengembara untuk mengindahkan lagi hubungan dengan Allah, Rasulullah, juga ibu dan ayah. Lebih kurang jam 12.00 malam, slot MAM 1 menutup tirai dan disambung dengan slot MENITI ANGIN MALAM 2. Lebih kurang jam 2.00 pagi, berakhirlah slot MENITI ANGIN MALAM 2 yang memberi kesan terbaik buat adik-adik kasih dan sayang.

Keesokkan harinya, program diteruskan lagi dengan slot HIJRAH untuk adik-adik kasih dan sayang yang bertempat di kantin Sekolah Agama Masjid Al-Mukhlisin (bersebelahan masjid) manakala slot MKMS untuk ibu bapa yang hadir bertempat di dewan terbuka masjid. Slot Hijrah telah dikendalikan oleh Kak Yong manakala slot MKMS dikendalikan oleh Ummi Ida. Kehadiran ibu bapa agak memberangsangkan. Pada jam 12 tengahari, slot pertemuan telah dikendalikan oleh Ummi Ida. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YDP IKRAM Bandar Tun Razak dan program berakhir sekitar jam 1 petang. Jazakumullahu khair kpd semua yang menjayakan... ~ para fasilitator, pihak Masjid Al-Mukhlisin, YDP IKRAM BTR, TYDP IKRAM Bandar Tun Razak, akhi Nazeli dan juga kepada warga IKRAM BTR/JDC yang bertungkus lumus memastikan dan mengurus program hingga berjaya. Tidak lupa juga kepada semua peserta kasih dan sayang. Antum memang hebat!!

Antara ibubapa yang hadir...

Adik-adik kasih...

Adik-adik sayang...

Saat dipertemukan...

Maafkan saya ibu, ayah...

Semoga ketemu lagi di program yang lain pula di tahun 2011, insyaAllah. Jom jadi yang terbaik, luar biasa hebat di pandangan Allah!!!

Monday, December 20, 2010

Impak KBM SSQ+5R terus pikat remaja

HULU LANGAT – Seramai 165 orang peserta berjaya mengharungi pengembaraan hidup selama empat hari tiga malam dalam program Keindahan Bersama-Mu (KBM SSQ+5R ) yang telah diadakan di Impian Country Resort, Kampung Sungai Semungkis di sini bermula 11 Disember lalu.


Program yang dianjurkan oleh IKRAM Wilayah Persekutuan dengan kerjasama KRJ Motivasi ini merupakan program tahunan dan telah tiga kali dilaksanakan sejak tahun 2008. Pada tahun ini, jumlah penyertaan bertambah 65% berbanding tahun 2009. Hal ini membuktikan keberkesanan program KBM SSQ+5R dan kesannya mula meresap ke dalam hati remaja.


Sasaran utama program ini adalah para remaja di seluruh negara yang berumur antara 13 hingga 16 tahun. Biarpun majoriti peserta yang hadir pada tahun ini datang dari sekitar Lembah Kelang, namun ada juga peserta dari luar termasuklah dari Kedah dan Melaka.

Pihak Penganjur telah menyasarkan beberapa objektif utama bagi program ini, antaranya menyeru para remaja kembali kepada fitrah, mengajak mereka membetulkan amalan fardu harian, melahirkan remaja yang inovatif dan mampu berdikari, menyediakan remaja yang kental fizikal dan mental dan membentuk jati diri serta keperibadian yang mulia.


Program ini telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk mental, jasad dan rohani (Mentari). Antara slot-slot yang dilalui oleh para peserta ialah ‘Knowing Me Knowing You’, ‘Chit Chat Remaja’, ‘Janggal Trekking', Mission Immpossible, Kantong Bocor, Nike Walk, Whats Up, Hidup Zero Alasan, Meniti Angin Malam, Solat not so late dan Menuai Kasih Menyemai Sayang.

Menurut seorang peserta, Afiq bin Azmi, 14 tahun, “Program KBM ini merupakan antara program paling best pernah saya hadir, saya rasa 4 hari 3 malam masih tidak mencukupi. (Kalau boleh) saya dan kawan-kawan mahu lebih lama lagi berada dalam program ini.”


Bagi pengarah program, Mohd Hafiz Abd Hamid, (gambar kanan) KBM SSQ+5R kali ini boleh dikatakan yang paling mencabar kerana banyak perkara perlu diuruskan.

“Pihak urusetia terpaksa bertungkus lumus, berkerja dari awal pagi hingga lewat malam demi memastikan kesempurnaan dan objektif program tercapai. Bagaimanapun segala penat lelah itu terubat apabila kilmaks program ini berjaya menyentuh hati peserta hingga menitiskan air mata penuh kesedaran. Bagi pihak penganjur, kami amat bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala atas segala bantuan-Nya,” kata Hafiz. Riak kepuasan di wajahnya bagaikan sukar disembunyikan.

Pihak penganjur juga merancang untuk mengadakan program susulan kepada para peserta dalam masa terdekat ini dan berharap agar dapat mengumpulkan para peserta KBM SSQ+5R dalam sesi tersebut.

Program Keindahan Bersama-Mu ataupun KBM ini merupakan sebuah program pembangunan sahsiah dan kesedaran umum di bawah kelolaan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). Selama 13 tahun diwujudkan, program KBM telah berjaya diadakan di 500 buah sekolah seluruh Malaysia. Kepada pihak sekolah mahupun organisasi yang berminat untuk turut sama menganjurkan KBM di tempat mereka, sila hubungi Kak Yong (017-8786582) atau layari http://krj-motivasi.blogspot.com/



Sumber: Pertubuhan IKRAM Malaysia